Oleh:Yussoff Johar
Published on 29 August 2022 at 04:00
Rumah agam yang menjadi kediaman rasmi Pegawai Daerah Barat Daya , Balik Pulau pada waktu itu
KAYUH BASIKAL SEJAUH 5 KM DEMI KEMERDEKAAN
Tahun 1967, ketika itu saya dalam darjah 6 di Sekolah Kebangsaan Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang.Bila tiba 31 Ogos, kami murid murid terpilih diseluruh Balik Pulau akan dijemput ke majlis minum petang
Jemputan itu bersempena dengan sambutan ulang tahun Kemerdekaan Malaysia, sekarang ini dikenali dengan Hari Kebangsaan.
Majlis tersebut berlangsung di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah di Titi Teras Balik Pulau.
Saya, bersama beberapa rakan sedarjah dengan berpakaian sekolah, berbasikal sejauh 5 km. untuk bersama-sama dalam majlis tersebut.
Sebagai budak kampung yang pertama kali menerima undangan didalam majlis yang besar, tentulah kami merasa kagum (peghak???) dengan segala persiapan.
Kami juga dapat melihat tetamu yang ramai, jamuan yang disediakan dan persembahan muzik daripada Polis Diraja Malaysia(PDRM) yang sedang berkumandang.
BERTEMU KETUA MENTERI PULAU PINANG YANG PERTAMA
Tan Sri Wong Pau Nee - 1911 - 2002
Pada majlis tersebut , Tan Sri Wong Pau Nee yang juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu turut hadir.
Beliau yang berkhidmat di antara tahun 1957 sehingga 1969 adalah Ketua Menteri Pertama bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, yang mewakili Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA)
TERUJA DAPAT MASUK KE DALAM RUMAH AGAM KEDIAMAN RASMI PENGAWAI DAERAH
Saya sangat teruja melihatkan sungguh besar rumah Pegawai Daerah ini, yang terletak di atas bukit yang cantik pemandangannya.
Saya menyimpan angan angan, satu hari kelak, kalau saya dapat mendiami rumah ini, alangkah bahagianya.
Apabila kembali ke sekolah, bercerita sakanlah kami kepada rakan rakan yang tak berpeluang menyertainya.
Meloponglah mereka mendengar yang sudah tentunya kami tambah sedikit sebanyak untuk menyedapkan cerita. Yang cemburu pun ada
BERTEMU SEMULA TUAN HAJI NORDIN HASSAN PEGAWAI DAERAH KETIKA ITU
Penulis(berdiri, dua kiri) bersama Tuan Hj Nordin Hassan(duduk, tengah) dan isteri(duduk, kiri) semasa menikmati jamuan durian di Sungai Pinang, Balik Pulau
Alhamdulillah... pada Julai tiga tahun yang lalu, saya dipertemukan kembali dengan Tuan Haji Nordin Hassan 81 tahun, Pegawai Daerah Balik Pulau tahun 1966 - 1970 dan isterinya Puan Hajah Kalthum yang juga seorang guru semasa menikmati durian di kebun James Wong di Sungai Pinang.
Cikgu Kalthum pernah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau(SERI)pada tahun 1967-1968 yang kemudiannya bertukar ke Sekolah Menengah St. George Balik Pulau.
Tahun 1968 ketika saya dalam Tingkatan Satu di SERI, cikgu Kalthum mengajar di Tingkatan Empat dan Lima.
Masih saya dapat bayangkan lagi, Tuan Haji Nordin akan hantar isterinya ke sekolah dengan kereta Volvo 144 warna putih setiap hari persekolahan.
Semuga Tuan Haji Nordin dan Puan Hajah Kalthum dipanjangkan usia dan kekal sihat