

Oleh:Yusof Johar
Published on 29 August 2022 at 04:00
Rumah agam yang menjadi kediaman rasmi Pegawai Daerah Balik Pulau pada waktu itu
Tahun 1967, ketika itu saya dalam darjah 6 di Sekolah Kebangsaan Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang.Bila tiba 31 Ogos, kami murid murid terpilih di seluruh Balik Pulau akan dijemput ke majlis minum petang
Jemputan itu bersempena dengan sambutan ulang tahun Kemerdekaan Malaysia, sekarang ini dikenali dengan Hari Kebangsaan.
Majlis tersebut berlangsung di Kediaman Rasmi Pegawai Daerah di Titi Teras Balik Pulau.
Saya, bersama beberapa rakan sedarjah dengan berpakaian sekolah, berbasikal sejauh 5 km. untuk bersama-sama dalam majlis tersebut.
Sebagai budak kampung yang pertama kali menerima undangan didalam majlis yang besar, tentulah kami merasa kagum (peghak???) dengan segala persiapan.
Kami juga dapat melihat tetamu yang ramai, jamuan yang disediakan dan persembahan muzik dari Polis Diraja Malaysia(PDRM) yang sedang berkumandang.

Turut hadir pada masa itu , Tan Sri Wong Pau Nee yang juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu.
Beliau juga merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama selepas merdeka dan berkhidmat di antara tahun 1957 sehingga 1969, daripada Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA)
Tan Sri Wong Pau Nee - 1911 - 2002

Saya sangat teruja melihatkan sungguh besar rumah Pegawai Daerah ini, yang terletak di atas bukit yang cantik pemandangannya.
Saya menyimpan angan angan, satu hari kelak, kalau saya dapat mendiami rumah ini, alangkah bahagianya.
Apabila kembali ke sekolah, bercerita sakan lah kami kepada rakan rakan yang tak berpeluang menyertainya.
Meloponglah mereka mendengar yang sudah tentu nya kami tambah sikit sebanyak untuk menyedapkan cerita. Yang cemburu pun ada

Penulis(berdiri, dua kiri ) bersama Tuan Hj Nordin Hassan (duduk,tengah) dan isteri(duduk, kiri) ketika menikmati durian di Sungai Pinang, Balik Pulau , tiga tahun lepas.
Alhamdulillah... pada Julai tiga tahun yang lalu, saya dipertemukan kembali dengan Tuan Haji Nordin Hassan 81 tahun, Pegawai Daerah Balik Pulau tahun 1966 - 1970 dan isterinya Puan Hjh. Kalthum yang juga seorang guru semasa menikmati durian di kebun James Wong di Sungai Pinang.
Chegu Kalthum biasa mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau((SERI)pada tahun 1967-1968 yang kemudian nya bertukar ke Sekolah Menengah St. George Balik Pulau.
Tahun 1968 ketika saya dalam tingkatan 1 di SERI, chegu Kalthum mengajar di tingkatan 4 dan 5.
Masih saya dapat bayangkan lagi, Tuan Hj. Nordin akan hantar isterinya ke sekolah dengan kereta Volvo 144 warna putih setiap hari persekolahan.
Semuga Tuan Hj. Nordin & Puan Hjh. Kalthum dipanjangkan usia dan kekal sihat