Published on 11 August 2022 at 19:00
Oleh:Bekas Pelajar SMPS
Tahukah anda Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Serai, Kedah(SEMPAS) telah berusia 57 tahun .Ia juga di kenali sebagai SMPS oleh pelajarnya diawal penubuhannya.
Terletak di daerah Kulim dan parlimen Padang Serai, ia mengambil masa 30 hingga 40 minit dengan jarak perjalanan 22 km dari pekan Kulim.Manakala jarak dari pekan Padang Serai adalah kira-kira 2 km dengan 3 minit perjalanan
Manakala untuk ke Bandar Sungai Petani , ia memerlukan perjalanan sejauh 25km dengan mengambil masa kira-kira 35 minit dan 7 minit diperlukan untuk ke sempadan Kedah-Pulau Pinang sejauh 5km.
Peluang belajar di SMPS tahun 60an hingga 80an kepada penduduk Padang Serai dan sekitarnya
Pada tahun 1965 hingga1980, iaitu sebelum penubuhan sekolah menengah yang baharu, SMPS merupakan satu-satunya sekolah harian yang memberi khidmat kepada penduduk di sekitar Padang Serai terutamanya penduduk yang di tinggal di kampung Sidam Kanan,Guar Lobak, Ekor Kucing, Tanjung Belit, Kg Dekeh @Sentosa, Terat Batu, Naga Lilit, Permatang Durian ,Permatang Tok Dik ,Padang Meha dan penduduk yang tinggal kawasan ladang seperti, Ladang Henrietta(kini menjadi sebahagian daripada Taman Serai Wangi) , Ladang Victoria , Ladang Padang Estet dan Ladang Bukit Selarong.
Selain penduduk di daerah Kulim, SMPS juga memberi peluang kepada penduduk yang tinggal kawasan lain seperti penduduk di daerah Kuala Muda dan sebahagian kecil penduduk Pulau Pinang yang tinggal di sempadan Kedah-Pulau Pinang .
Menurut bekas pelajar yang tinggal di daerah Kuala Muda, mereka yang tinggal di kampung Sidam Kiri, Kampung Banggol, Pantai Perai, Kampung Siam Olak Madu, Kemumbung, Lubuk Kiab, Pantai Edau dan Lubuk Saga agak sukar untuk ke Sekolah Menengah Khir Johari (SMKJ) atau Sekolah Menengah Ibrahim(SMI) yang terletak di bandar Sungai Petani, Kuala Muda.
Ini kerana jaraknya agak jauh ditambah lagi dengan hubungan jalanraya yang kurang baik.
Pada waktu itu, SMPS merupakan satu-satunya sekolah yang paling hampir dengan kediaman mereka berbanding SMKJ dan SMI kerana ia mempunyai hubungan jalanraya yang lebih baik walaupun jalannya bertanah merah.
Selain daripada dua daerah yang terletak di negeri Kedah, sebahagian kecil penduduk Pulau Pinang terutamanya yang tinggal di sempadan Kedah-Pulau Pinang seperti Kampung Selamat dan Ekor Kucing Pulau Pinang juga pernah belajar di sini.
"Kelas Hanyut"
Pada tahun 1978 akibat kekurangan bilik darjah untuk sessi petang, pihak sekolah telah mewujudkan "Kelas Hanyut" dimana kelas Tingkatan Dua A,B, dan C telah ditukar ke sessi pagi, manakala kelas Tingkatan Dua D ke bawah masih kekal berada disessi petang.
Pelajar Tingkatan Dua A, B dan C di sessi pagi akan menumpang di bilik darjah yang kosong ketika pelajar mengadakan aktivi luar , makmal sains dan bengkel seni perusahaan serta kantin sekolah.
Penubuhan Sekolah Menengah Padang Serai II
Bagi menampung kesesakan yang berlaku di SMPS, pada Januari tahun 1985, kerajaan melalui Kementerian Pelajaran telah menubuhkan sebuah lagi sekolah di kawasan Padang Serai iaitu Sekolah Menegah Padang Serai II, kemudiannya dikenali sebagai Sekolah Menengah Dato’ Lela Pahlawan.
Seperti penubuhan SMPS pada tahun 1965, Sekolah ini juga menumpang sementara waktu di Sekolah Kebangsaan Guar Lobak dan berpindah ke lokasi tetapnya pada tahun 1986.
Selaras dengan pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1997 agar semua sekolah ditambah perkataan ‘kebangsaan’, maka kini nama sekolah ini telah dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Serai (SEMPAS)
Dimanakah Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Serai bermula?
Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Serai terletak di Jalan Baling, kira-kira 2 km dari pekan Padang Serai dan 20km dari pekan Kulim.
Gambar :FB SJKC Shang Cheng
Sekolah ini ditubuhkan pada 10 Januari 1965 dengan menumpang di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) SJKC Shang Cheng, yang terletak berhadapan RHB bank Padang Serai.
Ia bermula dengan 7 kelas dimana 4 kelas Peralihan Bahasa Inggeris, 1 kelas Peralihan Bahasa Melayu dan 2 kelas Tingkatan Satu
Jumlah guru pada masa itu adalah seramai 14 orang terdiri daripada seorang pengetua, dua guru terlatih dan sebelas guru RTC dan guru Sandaran
Menurut bekas pelajar yang menjadi pelopor sekolah ini, mereka memulakan persekolahan di sini pada tahun 1965 sehingga 1967 .Setelah tamat Tingkatan Tiga pada tahun 1967 dan lulus Sijil Rendah Pelajaran (SRP) mereka terpaksa menyambung pelajaran ke Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Kebangsaan Kulim (SMKK)
Ini kerana Smps pada waktu itu belum lagi bersedia unutk menawarkan Tingkatan Empat kepada lepasan Sijil Rendah Pelajaran(SRP) tahun 1967. disebabkan tapak kekal yang terletak di Ladang Victoria masih belum lagi siap.
SMPS berpindah ke tapak kekal pada tahun 1968 dan dibuka dengan rasminya tiga tahun kemudian.
Pada 11 Mac 1968, dengan memiliki dua buah blok bangunan pada mulanya, SMPS telah berpindah ke bagunan sendiri yang terletak di kawasan Ladang Victoria. dengan keluasan tanahnya 15 ekar
Manakala Pada 7 Jun 1971, sekolah ini telah dirasmikan oleh YMM Tuanku Bendahara, YMM Tunku Abdul Malek Ibni Almarhum Sultan Badlishah, pemangku Sultan Kedah pada masa itu .
Untuk rekod Sultan Kedah, pada waktu itu, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah merupakan Yang di-Pertuan Agong yang ke lima bermula 21 September 1970 sehingga 20 September 1975 .
Pada tahun 1987, kelas Tingkatan Enam Rendah mula diwujudkan, manakala kelas aliran Agama Islam pula mula beroperasi pada tahun 1999 tetapi kelas ini telah dibubarkan mulai tahun 2007.
Gambar terkini Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Serai,Kedah(SEMPAS)
Di bawah ini senarai kepimpinan guru besar atau pengetua yang pernah berkhidmat di sekolah ini bemula tahun 1965 hingga 2005.
En. G. Rajoo (1965-1972),
Tn. Hj. Syed Ahmad b. Syed Yassin (1972-1977),
Tn. Hj. Mansor b. Hj. Abd. Rahman (1977-1979),
Tn. Hj. Abd. Halim b. Hj. Othman (1980-1982),
En. Hamdan b. Muhd. Salleh (1983-1984),
Tn. Hj. Ahmad Mukhtar b. Hj. Abdullah (1984-1992),
Tn. Hj. Haris Fadzilah b. Mustafa (1992-1999),
Pn. Hjh Rohani bt Said (2000-2005)
Tn Hj. Mohd. Nor b. Othman (2005
Sumber:FB SEMPAS
Catatan bekas pelajar setelah kembali ke sini selepas 34 tahun dan sambutan hariraya 2014
Setelah meninggalkan sekolah ini pada tahun 1981, aku kembali ke sini pada tahun 2014 sempena perjumpaan hariraya yang dianjurkan oleh Persatuan Bekas Pelajar SMPS 80-82.
Banyak kenangan yang yang tercatat di minda,suka duka pahit manis semua mengamit kenangan
Ada yang bercerita tentang berkongsi segelas teh ais dan sebuku roti pelanta bersama tiga rakan yang lain.
Waktu itu segelas teh ais dan sebuku roti cukup berharga bagi golongan marhean seperti kami.
Gambar hiasan
Cikgu Amillia Ariffin tahun 2016
Selain daripada itu mereka juga bercerita tentang kehebatan Cikgu Amillia Ariffin yang mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris, memiliki MG sport berwarna merah dan masih bujang, walaupun sedikit berumur.
Setelah berkahwin beliau mengikut suaminya berhijrah ke Kuala Lumpur dan menetap di Taman Nirwana Kampung Pandan
Paling tak boleh dilupakan, bilamana seorang sahabat membawa nasi yang dibungkuskan dengan daun pisang dan berlaukan ikan tamban atau gelama masin, sungguh menyelerakan, walaupun lauknya sekadar ikan masin.
Waktu itu ikan masin digorengkan dengan minyak kelapa(minyak nyoq buatan sendiri), aromanya bertambah apabila lebihan minyak bercampur sisik ikan digaul bersama nasi.
Lebih nikmat sekiranya dimakan bersama gulai kosong yang dibeli di kantin sekolah .Hanya gulai kosong saja yang termampu ketika itu.
'Pot' Kebun Ubi Belakang Sekolah.
Kebun ubi merupakan tempat transit sebelum memulakan sekolah sessi petang atau menunggu untuk aktiviti kokurikulum di sebelah petang bagi yang bersekolah di sessi pagi.
Di sini diceritakan, ada rakan-rakan terpaksa cabut lari ketika dikejar pengawas sewaktu sedang merokok .
Kebun ubi juga tidak asing bagi aku.Di tahun 1977, semasa aku di Tingkatan Satu sessi petang , aku menumpang bas sekolah milik seorang penguasa berbangsa india, Perumal a/l Narasimah yang tinggal di Ladang Henrietta.
Basnya agak baru kalau nak dibandingkan dengan bas milik Rashid Maidin, Hassan Mualaf dan Ustaz Taq yang agak uzur.
Oleh kerana jadual bas aku paling awal sekitar 11 pagi , maka aku sampai lebih awal ke sekolah sekitar jam 11.30 pagi setelah singgah di kedai Seeni Mohamad atau Azmi untuk membeli sedikit lauk atau kuah gulai.
Waktu itu gulai dari kedai Seeni Mohamad adalah terbaik, masih wujud sehingga kini, walaupun rasanya agak berubah
Jadi untuk mengisi masa terluang, di sini menjadi 'pot' aku dan rakan-rakan untuk berehat, makan, meniru kerja sekolah dan lain-lain.
Mati Hidup Semula
Dalam keseronakan menyambut hariraya, riuh rendah dan hiruk-pikuk terhenti sejenak apabila Cikgu Yusof Ishak atau Cikgu Chop ketika itu berumur 62 tahun mmenceritakan sesuatu.
Dengan mengunakan pembesar suara beliau menceritakan, tentang degupan jantungnya terhenti selama 5 saat dan kembali normal .Tonton Video di bawah
Cikgu Chop merupakan seorang cikgu yang paling tegas dan bengis .Tiada siapa yang berani menatap mukanya , semuanya tunduk layu. Itu la sifat Cikgu Chop yang tidak ada pada cikgu-cikgu yang lain.
Untuk cikgu-cikgu lain aku tak berapa ingat maklumlah banyak makan semut sewaktu muda ditambah lagi faktor usia yang akan menjadi warga emas dua tahun lagi.Sekiranya ingin berkongsi pengalaman boleh tulis di ruang komen
Gambar sekitar perjumpaan bekas pelajar oleh Persatuan Bekas Pelajar SMPS 80-82 bertempat di Dewan terbuka SMPS pada 2014-Gambar Koleksi daripada FB:Persatuan Bekas Pelajar SMPS 80-81
Kalau nak diikutkan banyak lagi pengalaman nak dicoretkan, atas sebab tertentu biar aku simpan saja niat aku..Hanya kawan-kawan rapat saja yang tahu.Ada yang sedang tersenyum.
Bekas pelajar SMPS 1977-1981
Add comment
Comments
Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula tempat bermanja. SMPS penuh suka dan duka. Terpahat memori yg akan terus subur dlm sanubari semua.
Mmg rindu sgt masa2 dalam persekolahan ni..
Tu dia baru tau, dia start kat sekolah cina dulu.