Mohd Zaudi (depan, kanan) bersama rakan-rakan menemui kanak-kanak tersebut (gambar kecil) ketika membuat rondaan di sekitar Gunung Jerai.
YAN - Seorang kanak-kanak perempuan bersendirian, berusia tiga tahun dijumpai oleh empat anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) di sekitar Gunung Jerai lebih kurang jam 3.30 petang.
Menurut Penolong Pegawai Rela Daerah Yan, Penguasa Rela Hamzah Zulkeffli, kanak-kanak tersebut dijumpai ketika anggota sedang membuat rondaan di sekitar Gunung Jerai tersebut.
"Sewaktu kejadian, seramai empat orang anggota yang diketuai oleh Mohd Zaudi Mohd Hashim melakukan rondaan Ops Monsun Timur Laut, menemui kanak-kanak tersebut dengan hanya memakai lampin pakai buang di kawasan tempat letak kereta kaki Gunung Jerai,"
Katanya lagi, setelah mendapati tiada waris di lokasi berkenaan, anggota mengambil keputusan menghantar kanak-kanak tersebut ke Balai Polis Guar Chempedak untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun menurut laporan terkini, kanak-kanak itu telah diserahkan kepada waris yang menyedari kehilangannya.
Kanak-kanak itu dipercayai keluar rumah dengan berjalan kaki sejauh 200 meter ke kaki Gunung Jerai tanpa disedari penjaganya .
Add comment
Comments